SERANGAN JANTUNG TIADA AMARAN, TAK MENGENAL USIA | PUSAT PEMAJUAN KOMPETENSI BAHASA
» ARTIKEL » SERANGAN JANTUNG TIADA AMARAN, TAK MENGENAL USIA

SERANGAN JANTUNG TIADA AMARAN, TAK MENGENAL USIA

Penyakit jantung sejak sekian lama dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana ia sering menyerang tanpa amaran dan boleh menyebabkan kematian mengejut.

Pada masa lalu, penyakit jantung sering dikaitkan dengan golongan berusia. Namun, realitinya hari ini, penyakit ini tidak lagi mengenal usia. Di Malaysia, kes kematian mengejut akibat penyakit jantung dalam kalangan golongan muda semakin membimbangkan.

Pakar Perunding Kardiologi, Prof. Dr. Imran Zainal Abidin dari UM Specialist Centre (UMSC), sebuah hospital bertaraf kuaternari, berkata bahawa 20 tahun dahulu serangan jantung lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berusia 50-an dan 60-an.

Kini, ramai pesakit terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an dan awal 40-an. Trend yang membimbangkan ini juga semakin ketara dalam kalangan wanita walaupun hormon estrogen biasanya memberikan perlindungan terhadap penyakit jantung koronari sebelum menopaus.

Menurut Dr. Imran, lebih membimbangkan lagi ialah peningkatan kes Kematian Jantung Mengejut (Sudden Cardiac Death - SCD) dalam kalangan individu yang kelihatan sihat dan aktif, termasuk atlet.

“Walaupun SCD hanya menyumbang kira-kira satu peratus daripada semua kematian berkaitan jantung, ia mendapat perhatian kerana berlaku ketika seseorang berada pada usia yang paling produktif dan sering tanpa tanda amaran yang jelas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa individu berusia 30-an hingga 40-an paling kerap didiagnosis dengan penyakit arteri koronari, iaitu keadaan yang berlaku akibat pembentukan plak kolesterol pada dinding arteri.

Sementara itu, mereka yang berusia 20-an hingga 30-an semakin kerap didiagnosis dengan kardiomiopati, iaitu penyakit yang melibatkan otot jantung, atau hipertrofi, iaitu pembesaran sel-sel otot jantung.

“Selain itu, terdapat juga golongan muda, khususnya lelaki, yang didiagnosis dengan penyakit jantung genetik seperti Sindrom Brugada, yang mengganggu aktiviti elektrik jantung dan boleh menyebabkan degupan jantung yang berbahaya serta tidak teratur.

Sindrom Long QT, yang lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita dan boleh bermula sejak zaman kanak-kanak atau remaja, merupakan gangguan irama jantung yang boleh menyebabkan degupan jantung menjadi terlalu laju dan tidak terkawal,” jelas beliau.

Bagi golongan berusia pula, masalah jantung biasanya berlaku kerana fungsi jantung semakin lemah akibat faktor penuaan.

Mengenai punca penyakit jantung, Dr. Imran berkata amalan gaya hidup tidak sihat, merokok, tekanan, kurang tidur, obesiti dan diabetes merupakan antara faktor utama yang semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda.

Gejala Awal Penyakit Jantung

Dr. Imran menjelaskan bahawa tanda-tanda awal penyakit jantung koronari berbeza antara golongan muda dan warga emas.

Bagi golongan muda, gejala sering kali tidak begitu jelas atau langsung tidak kelihatan. Mereka mungkin hanya mengalami keletihan, sesak nafas ketika bersenam atau ketidakselesaan ringan pada dada.

Bagi warga emas pula, gejala biasanya lebih ketara seperti sakit dada yang teruk, berpeluh secara berlebihan, pening atau pengsan.

Oleh itu, individu yang mengalami gejala atau mempunyai risiko tinggi seperti sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung atau pernah mengalami kematian mengejut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dengan segera.

Sejarah keluarga memainkan peranan yang penting. Jika ibu bapa atau adik-beradik pernah menghidap penyakit jantung, risiko ahli keluarga lain turut meningkat.

Antara pemeriksaan yang penting ialah:

  • Elektrokardiogram (ECG)
  • Ekokardiogram
  • Ujian Tekanan Jantung (Stress Test)
  • Penilaian Skor Kalsium Koronari (Calcium Score)

Pemeriksaan ini dapat membantu mengesan penyakit jantung pada peringkat awal, terutamanya penyakit jantung genetik yang memerlukan rawatan awal.

Rawatan dan Perubahan Gaya Hidup

Apabila seseorang disahkan menghidap penyakit jantung, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengawal tekanan darah, paras kolesterol dan paras gula dalam darah.

Pesakit juga perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor serta melakukan perubahan gaya hidup secara menyeluruh, termasuk mendapatkan tidur yang mencukupi, sekurang-kurangnya tujuh jam sehari.

Rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap penyakit:

  • Tahap awal: Pengambilan ubat, perubahan gaya hidup dan kawalan faktor risiko.
  • Tahap sederhana: Prosedur angioplasti untuk membuka atau melebarkan arteri koronari yang sempit atau tersumbat.
  • Tahap kritikal: Pembedahan pintasan jantung (bypass) atau dalam kes tertentu, pemindahan jantung.

Dr. Imran berkata kemajuan teknologi perubatan kini membolehkan rawatan yang lebih tepat dan proses pemulihan yang lebih cepat. Namun begitu, pencegahan masih merupakan langkah yang paling berkesan.

Langkah pencegahan termasuk:

  • Mengamalkan pemakanan sihat yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Mengurangkan pengambilan gula dan garam
  • Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu
  • Berhenti merokok dan menggunakan vape
  • Menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala

Waktu Kritikal Serangan Jantung

Dr. Imran turut menjelaskan salah tanggapan bahawa bersukan pada waktu malam boleh menyebabkan serangan jantung.

Beliau menegaskan bahawa waktu bersenam bukanlah masalah utama. Risiko sebenar adalah melakukan aktiviti fizikal tanpa memanaskan badan terlebih dahulu, khususnya bagi individu yang jarang bersenam.

“Namun, waktu yang paling kritikal untuk serangan jantung adalah antara jam 4.00 pagi hingga 6.00 pagi. Pada waktu ini, tubuh biasanya sedang berehat atau tidur dan salur darah menjadi lebih sempit kerana keperluan oksigen adalah rendah.

“Apabila seseorang tiba-tiba bangun dan terus melakukan aktiviti seperti berjalan laju ke masjid atau surau, aliran darah meningkat secara mendadak. Plak kolesterol dalam salur darah yang sempit boleh pecah.

“Plak yang pecah akan bercampur dengan darah dan membentuk bekuan yang menyumbat salur darah, sekali gus menyebabkan serangan jantung.

“Oleh itu, amat penting untuk memanaskan badan sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal,” jelas beliau.

Beliau menambah bahawa dalam kes individu yang rebah atau meninggal dunia ketika bersenam, puncanya biasanya bukan disebabkan oleh waktu bersenam tetapi berkait dengan masalah jantung yang sedia ada.

Dr. Imran menasihatkan orang ramai supaya mengetahui sejarah kesihatan keluarga, terutama jika terdapat sejarah penyakit jantung atau kematian mengejut, dan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal.

Beliau juga menggalakkan masyarakat supaya peka terhadap gejala, mendapatkan nasihat doktor dan tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperoleh melalui media sosial.

“Paling penting, beranilah menjalani pemeriksaan kesihatan. Jika sesuatu penyakit dikesan, rawatan tersedia.

“Ramai yang masih takut untuk menjalani pemeriksaan kerana bimbang menerima diagnosis penyakit, sedangkan menangguhkan pemeriksaan sebenarnya jauh lebih berisiko,” katanya.

Tarikh Input: 18/06/2026 | Kemaskini: 18/06/2026 | lailatul

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMAJUAN KOMPETENSI BAHASA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691404
0397693694
X, (09:23:39am-09:28:39am, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]