Pertandingan Global Lingua Spelling Bee Siri III, 2023 Bahasa Dianyam, Budaya Disulam. | CENTRE FOR THE ADVANCEMENT OF LANGUAGE COMPETENCE
» NEWS » Pertandingan Global Lingua Spelling Bee Siri III, 2023 Bahasa Dianyam, Budaya Disulam.

Pertandingan Global Lingua Spelling Bee Siri III, 2023 Bahasa Dianyam, Budaya Disulam.

Serdang, 31 Julai - Kejayaan 2 orang pelajar yang berjaya meraih gelaran juara mewakili bahasa Jerman dan bahasa Turki dalam Pertandingan Global Lingua Spelling Bee (GLSB) Siri Ketiga, 2023 mendapat pujian ramai pihak termasuk guru, penonton dan rakan peserta lain. Hal ini demikian kerana acara yang dipertandingkan pada 9 Jun 2023 itu menyaksikan kehebatan para peserta bersaing untuk mengeja perkataan dengan sebutan yang betul dan jelas. Ini membuktikan bahawa pelajar UPM telah menyahut seruan dan aspirasi Dato’ Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 untuk melahirkan graduan yang berupaya menguasai bahasa tambahan dan mendepani cabaran masa hadapan. Tahniah diucapkan kepada semua para peserta yang menyertai.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dr. Sanimah Hussin merangkap Ketua Bahagian Kemahiran Bahasa Melayu dan Bahasa Global (BMBG) dengan keterlibatan peserta yang mendaftar kursus bahasa Jerman dan bahasa Turki. Keunikan penganjuran Pertandingan GLSB Siri Ketiga ini hanya melibatkan 2 bahasa sahaja iaitu bahasa Jerman dan bahasa Turki. Hal ini demikian untuk melengkapkan keseluruhan penglibatan semua bahasa yang ditawarkan di Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) tanpa pengecualian. Terdahulu, kedua-dua bahasa ini tidak mengambil bahagian dalam penyertaan GLSB pada siri pertama dan siri kedua kerana terlibat dengan aktiviti lain yang dianjurkan di universiti. Biarpun penglibatan hanya 2 bahasa sahaja dengan mempertaruhkan 9 orang peserta setiap bahasa, program tetap meriah dengan mendapat sambutan dari semua pihak.

Penganjuran program ini juga adalah salah satu platform kepada pelajar, bukan sahaja mempelajari bahasa asing sebagai nilai tambah pengetahuan mereka,  malah sedikit sebanyak pelajar dapat mempraktikkan budaya sesuatu bahasa yang dipelajari melalui pertuturan dan kefasihan sebutan. Menurut salah seorang juri jemputan iaitu Encik Mustafa Cesmeci  dari Kuala Lumpur Yunus Emre Enstitüsü, beliau kagum dengan pelajar UPM yang boleh menyebut perkataan bahasa Turki dengan intonansi dan lenggok yang hampir sama dengan penutur jati. Sedikit sebanyak menyumbang kepada satu persaingan sengit kepada pihak juri untuk menentukan siapakah yang paling layak dinobatkan sebagai juara.

Pemenang bagi penganjuran program ini membawa pulang piala, wang tunai dan sijil penyertaan. Aktiviti ini mendapat sokongan penuh dari pihak CALC kerana CALC sentiasa menyokong apa sahaja aktiviti yang melibatkan kompetensi bahasa dan program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.

Date of Input: 31/07/2023 | Updated: 02/08/2023 | n_farrid

MEDIA SHARING

CENTRE FOR THE ADVANCEMENT OF LANGUAGE COMPETENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691404
0397693694
SXEbXAR~